Like this spot?Advertise with us now! Call +6012-653 5319

Stilleto Solution

Walaupun banyak jenama luar yang sentiasa menjadi ikutan untuk digunakan sebagai kenderaan hobi serta dinaik taraf, jenama keluaran tempatan tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri. Memang tidak dinafikan, jenama keluaran Malaysia juga memiliki ciri-ciri yang dapat memuaskan hati para pemiliknya baik dari segi reka bentuk mahupun kuasanya. Akan tetapi, bagi memberikan lebih kepuasan serta kuasa dalam sesi pemanduan, jentera tersebut juga akan dinaik taraf dengan beberapa ubahsuai yang dapat menampilkan lagi kehebatannya semasa dipacu di atas jalan raya.

Proton Perdana merupakan sebuah model yang telah lama di lahirkan bagi memenuhi keperluan dan kegunaan para korporat dan golongan elite di negara kita pada suatu masa dahulu. Setelah sekian lama, model ini semakin dapat dimiliki dek kerana harganya yang semakin menurun mengikut harga pasaran. Oleh kerana itu, dengan minat yang ada serta sedikit wang belanja yang ada, pemilik jentera yang dipaparkan ini telah berjaya melakukan sesuatu yang sangat hebat pada jentera Proton Perdana V6 miliknya ini.

Enjin asal sememangnya tidak akan digunakan semula demi memuaskan nafsu serakahnya. Oleh yang demikian pemiliknya telah memilih nadi VR4 RS sebagai pengganti. Enjin VR4 tersebut telah dilakukan proses ‘port n polish’ seterusnya dipasangkan dengan aci sesondol Crower 280° lengap dengan spring injap dan retainer juga dari jenama yang sama di dalamnya.  Bagi memastikan janaan enjin ini lebih mantap, ianya telah dipadankan dengan crankshaft 2.2 bersama-sama pasangan conrod dari Manley dan piston bersaiz 86mm dari Wiseco.

Bahan api dari tangki di hantar dengan begitu teratur yang kemudiannya dipancitkan ke dalam bahagian kebuk pembakaran melalui unit injektor ID bersesaran 1000cc. Selain itu, jentera ini juga kelihatan telah dipasangkan dengan turbo dari Holset HX35 untuk memantapkan lagi kuasanya disamping intercooler dari Nissan Skyline yang diikat di bahagian hadapan. Penjanaan serta talaan bagi enjin ini pula diperkasakan lagi dengan padanan unit ecu Haltech Sprint 500.

Kuasa dari enjin kemudiannya disampaikan ke bahagian roda menggunakan kotak gear yang telah dilengkapi dengan set klac berprestasi OS Giken Twin Plate di dalamnya bagi penghantaran kuasa yang lebih sempurna.

Tahap kedudukan dan keselesaan jentera ini pula dilakukan melalui set suspensi boleh laras HWL Hi-Low Soft-Hard yang dipasang pada keseluruhan jentera ini. Untuk kuasa memberhentikan jentera ini di tahap yang lebih cekap, ianya telah dipasangkan dengan kaliper brek 4pot dari Toyota Aristo di bahagian belakang manakala dibelakangnya masih dikekalkan dengan V6 yang asal.

Ruang dalaman jentera ini diserikan lagi dengan penggunaan tempat duduk bucket Recaro dari Evo III. Di bahagian cermin hadapannya pula telah dipasangkan dengan deretan meter GReddy 5 beradik lengkap dengan butang ‘scramble Bluetooth’ serta kelihatan juga meter Apexi RSM juga dipasangkan di bahagian papan pemukanya.

Penampilan luarnya pula diperhebatkan dengan penggunaan ‘hood’ hadapan milik Mitsubishi Evo 6 serta dipadankan pula dengan rim Enkei RP01 bersama-sama tayar Toyo Proxes R888. Bagi memastikan jentera ini tampak hebat dan berkuasa seperti sekarang, pemiliknya telah mendapatkan perkhidmatan dari pihak Ropie Garage. Ternyata, hasil kerjanya amat memuasakan!

                                  

Spesifikasi Shift!

Kereta : Proton Perdana

Enjin : VR4 RS

Modifikasi Enjin : Port n polish head, full balancing, piston Wiseco 86mm, conrod Manley, crankshaft 2.2, hi-cam Crower 280, valve spring Crower, retainer Crower, injector 1000cc ID, Turbo Holset HX35, intercooler Nissan Skyline

Transmisi : Clucth OS Giken twin plate

Elektronik : Haltech Sprint 500, Apexi RSM

Suspensi & Cesi : HWL adjustable HLSH

Sistem Brek : 4pot Toyota Aristo

Roda & Tayar : Rim Enkei RP01, tayar Toyo R888

Dalaman : Seat Recaro Evo III, meter GReddy 5 beradik + Scramble button Bluetooth

Luaran : Bodykit Perdana V6, hood Evo 6

Bengkel & Tuner : Ropie Garage

Foto : Kenny Yeoh@eosguy